Title Bar

Monday, 23 April 2012

Tafsir Mawdu'i


A001

Dengan nama Allah yang maha pemurah, lagi maha mengasihani. Selawat serta salam atas junjungan Nabi Muhammad (saw), keluarganya, para sahabat, tabi' dan tabien, para ulama dan guru-guru serta sekelian mukminin dan mukminat keseluruhannya.


Terdapat pelbagai cara serta gaya persembahan dalam menyampaikan tafsir ayat-ayat Al-Quran yang semuanya bergantung kepada kecenderungan seseorang penulis itu. Tafsir Al-Quran yang banyak ditulis adalah secara tafsir mawdu'i iaitu Tafsir yang berttema/bertajuk. Secara umumnya, terdapat 3 bentuk tafsir mawdu'i iaitu bentuk pertama melalui perkataan. Disini penulis menetapkan apakah perkataan yang ingin dipersembahkan lalu penulis mengumpulkan perkataan tersebut dari satu, beberapa atau keseluruhan surah Al-Quran yang mengandungi perkataan tersebut. Contoh yang diberikan oleh ustaz ana adalah "burung". Maka dicari dalam ayat Al-Quran yang mengandungi perkataan "burung" (طائر ), dihimpun dan dipersembahkan dalam suatu tulisan yang bertajuk "Kisah Burung Dalam Al-Quran".

Bentuk kedua pula adalah dengan memilih sesuatu tajuk, maka dihimpunkan ayat Al-Quran bagi menyokong tajuk tersebut. Contoh yang diberikan oleh ustaz ana adalah mengenai sistem pemakanan dalam Al-Quran. Jika penulis ingin menulis artikel mengenai "Madu Lebah Sebagai Penawar Dari Allah", Maka dicari dalam ayat Al-Quran yang mengandungi ayant yang dapat menyokong tajuk ini seperti: 

A069
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Al-Nahl - 16:69)

Bentuk terakhir pula adalah bentuk yang lebih sukar dilakukan iaitu dengan Tafsiran melalui sesuatu objektif sesuatu surah dan inilah bentuk Tafsir Mawdu'i yang ditugaskan kepada ana oleh ustaz ana iaitu: PROFESSOR DATUK DR. MOHD YAKUB @ ZULKIFLI BIN MOHD YUSOFDalam tugasan ini ana diminta menulis kaedah tafsir mawdu'i oleh Syed Qutb dalam mentafsir surah Al-Anfal. Berikut adalah petikan dari tugasan ana:-




– PENGENALAN


1.1    – Pengenalan Kepada Syed Qutb


   

Nama sebenar Sayyid Qutb ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Shazali. Dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung (Moshah) di wilayah Assyut, Mesir. 1 Pendidikan awal beliau terima di rumah daripada kedua ibubapanya yang sangat menitik beratkan soal agama. Pada usia 10 tahun beliau telah berjaya menghafal seluruh 30 juzuk Al-Quran. Beliau telah berhijrah ke Kaherah pada usia 14 tahun dan memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah tamat pengajian beliau bertugas sebagai guru di Bani Sunif. Pada tahun 1928 (sewaktu berusia 22 tahun) beliau menyambung pengajian dengan memasuki sekolah persediaan dan diterima masuk ke Darul Ulum, Universiti Kaherah pada tahun 1930 dengan mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari’ah.


1.1    – Karya Dan Perjuangan Syed Qutb

Sepanjang tempoh memimpin Lujnah dakwah, beliau telah menghasilkan beberapa karya yang berasaskan dakwah dan pemikiran Aqidah Islam, antaranya adalah: 3
  • Hadha al-Din.
  • Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
  • Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiyy.
  • Maalim fi al-Tariq.
  • Tafsir Fi Zilalil Quran.

 ULASAN

– Surah Al-Anfal.

Surah Al-Anfal (Harta Rampasan Perang) adalah surah kelapan yang terkandung dalam al-Quran. Mengandungi 75 ayat dan termasuk dalam golongan ayat-ayat Madaniyah. Ianya diberi nama Al-Anfal yang bermakna harta rampasan perang merujuk kepada perkataan Al-Anfal yang terdapat di permulaan surah serta merupakan persoalan pokok dalam surah ini iaitu tentang harta rampasan perang, hukum perang dan hal-hal yang berhubungan dengan peperangan pada umumnya. Menurut riwayat Ibnu Abbas, surah ini diturunkan semasa peristiwa Perang Badar yang berlaku pada tahun 2 Hijrah dimana umat islam yang sedikit telah dapat mengalahkan kaum musyrikin yang ramai dimana banyak harta rampasan perang telah diperolehi sehingga menimbulkan masaalah dalam pembahagian harta tersebut

Antara isi penting terdapat dalam surah ini adalah: 5
  • Keimanan - Allah menyertai dan jaminan terhadap golongan beriman serta bertawakkal, malaikat membantu dalam perang Badar dan syirik merupakan dosa yang berat.
  • Hukum hakam – Kebenaran mendapat dan pembahagian harta rampasan perang, larangan lari dari peperangan, khianat terhadap Allah dan Rasul dalam peperangan. Hukum mengenai tawanan, taat kepada pemimpin, persiapan dan tujuan peperangan dalam islam.
  • Kisah - Keengganan beberapa orang ikut perang, suasana kaum diwaktu, sebelum dan sesudah perang Badar. Permusuhan kaum musyrikin terhadap rasullullah, perlanggaran perjanjian oleh orang yahudi serta keburukan golongan munafik.

  – Tafsir Mawdui’.

Tafsir mawdui’ terbentuk melalui jalinan dua perkataan iaitu al tafsir dan al mawdui’. Al mawdui’ bermaksud topik atau tajuk tertentu manakala tafsir sendiri seperti yang dijelaskan oleh Ibnu A'syur bermaksud "suatu disiplin ilmu yang berfungsi menjelaskan perkataan-perkataan Al Quran sama ada secara umum mahu pun terperinci". Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa tafsir mawdui’ bermaksud tafsir yang cuba dikupas dalam bentuk topik atau tajuk mengikut objektif  atau kehendak para pentafsir bersandarkan ilmu dan kemahiran beliau.

Terdapat tiga bentuk tafsir mawdui’ yang sering digunakan untuk menafsir sama ada untuk sesuatu surah ataupun keseluruhan al-Quran oleh para pentafsir iaitu: 6
  • Pertama – Berasaskan perkataan yang mempunyai persamaan. Pentafsir akan mengumpulkan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai persamaan bentuk, ayat terbitan dan makna untuk dikaji dari pelbagai aspek. Contoh mengenai At-Toyir (burung-burung) boleh diambil dari surah al-Fill ayat 3.
  • Kedua – Berasaskan tajuk yang ditetapkan oleh pentafsir. Pentafsir akan menetapkan sesuatu tajuk maka beliau akan menghimpunkan pelbagai ayat al-Quran untuk menjelaskan tajuk berkenaan. Contoh mengenai makan makanan halal dan baik boleh diambil dari surah al-Maidah ayat 3.
  • Ketiga – Berasaskan objektif surah. Objektif dan tujuan sesuatu surah itu diturunkan cuba dikaji oleh pentafsir dengan melihat kepada hubungkait surah sebelum dan selepasnya, hikmah penyusunan surah oleh Jibrail a.s. bersama Rasullullah s.a.w. dan pengkelasan surah melalui manhaj akidah, syariah, ayat makiyyah dan ayat madaniyah. Contoh tafsir surah Al-Anfal oleh Syed Qutb didalam Kitab Tafsir Fi Zilalil Quran.

 – Kaedah Tafsir Dan Contoh Tafsiran Syed Qutb Pada Ayat-2 Surah Al-Anfal

Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal lil Quran telah menafsirkan surah Al Anfal dengan mengunakan kaedah tafsir mawdui’ yang ketiga iaitu mentafsir berasaskan objektif surah. Ini dapat dilihat apabila beliau banyak mengulas mengenai objektif surah ini yang diturunkan untuk mengajar manusia mengenai iman dan hukum hakam. Peristiwa mengenai harta rampasan peperangan yang ianya juga menjadi nama atau tajuk surah banyak diulas secara oleh Syed Qutb dalam tafsirannya. Allah swt telah memberikan tarbiah Rabbaniah tentang keimanan kepada para sahabat ketika itu bahawasanya harta rampasan bukan hak mereka untuk diperselisihkan, akan tetapi ianya merupakan kurniaan dari Allah swt kepada mereka, yang dibahagikan sama rata oleh Rasulullah saw sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada baginda. Penekanan soal keimanan ini dapat dilihat pada ayat-2 surah Al-Anfal iaitu:


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal” (Surah Al-anfal – ayat 2) 7

Ayat ini menceritakan tentang getaran perasaan yang menyentuh kalbu setiap orang mukmin kerana ketika disebut nama Allah sama ada dengan perintah atau larangannya maka hati setiap mukmin akan tertutup oleh keagungan-Nya.

Akan terbayang dalam setiap hati orang mukmin akan kehebatan Allah disamping meluap-luap rasa cinta kepada Allah serta takut atas kekurangan diri dan dosa-dosanya. Ini secara bersama akan mendorong orang mukmin untuk meningkatkan amal dan ketaatan kepada Allah. Untuk mencapai taraf keimanan seperti yang dicatat dalam ayat kedua tersebut, Allah juga telah menerangkan tentang ciri-ciri dan cara-cara yang harus dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Ini dapat dilihat dalam ayat seterusnya iaitu dalam ayat ketiga dimana Allah menegaskan dalam ayat ini bahawa ciri-ciri orang beriman itu ialah mereka yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang diperolehinya. Disamping itu ianya dikuatkan lagi pada dua ayat penutup surah ini iaitu dalam ayat 74 dan ayat 75,

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (ni'mat) yang mulia”
“Dan orang-orang yang beriman sesudah itu kemudian berhijrah serta berjihad bersamamu maka orang-orang itu termasuk golonganmu (juga). Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” (Surah Al-anfal – ayat 74 & 75)

KESIMPULAN

Melalui pemerhatian keatas tafsiran surah-surah yang terdapat didalam kitab tafsir Fi Zilalil Quran secara amnya dan surah Al Anfal secara khususnya, dapatlah dilihat bahawa Syed Qutb telah menggunakan kaedah tafsiran mawdui’ yang ketiga iaitu penafsiran melalui objektif surah. Ini dapat dilihat apabila semua pembentangan beliau dalam tafsiran adalah menjurus kepada maksud, makna atau objektif surah tersebut. Penyataan ini dikuatkan lagi dengan latar belakang beliau sebagai seorang yang amat meminati bidang penulisan terutamanya dalam bidang penulisan kesusasteraan telah membantu beliau untuk mentafsir dan mengolah ayat-ayat yang terkandung didalam surah Al Anfal secara santai dan mudah difahami oleh masyarakat umum. Maka tidak hairanlah jika kitab tafsiran beliau (Fi Zilalil Quran) telah diterima pakai dan menjadi rujukan seluruh umat dunia sebagai salah satu kitab tafsir yang muktabar.







Abul Sufi,


A016
Janganlah engkau (wahai Muhammad) - Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). (Al-Qiaamah 75:16)

2 comments:

  1. assalamualaikum tuan..

    semoga jasa baik tuan dalam menyampaikan ilmu mendapat keberkatan di sisi Allah.

    terima kasih

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Semoga semua pembaca blog ini mendapat manafaat dari perkongsian ilmu disini. Diharap pesanan baginda rasullullah s.a.w. yang bermaksud "Sampaikan dari ku walau satu ayat" dapat menjadi budaya dalam diri semua umuat islam yang sejati.

    ReplyDelete