Title Bar

Thursday, 3 May 2012

Hadith Mawdui'

A001

Dengan nama Allah yang maha pemurah, lagi maha mengasihani. Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam. Selawat serta salam atas junjungan Nabi Muhammad (saw), keluarganya, para sahabat, tabi' dan tabien, para ulama dan guru-guru serta sekelian mukminin dan mukminat keseluruhannya.


Jika dalam pengajian Al-Quran sebelum ini ana di perkenalkan dengan Tafsir Mawdui', dalam pengajian Hadith juga terdapat kursus Hadith Mawdui'. melalui pengajian ini peserta diperkenalkan dengan membaca hadith yang bertajuk mengikut kehendak penyampaian penulis. Dalam kursus ini ana telah menyediakan tugasan yang bertajuk kelebihan infaq menurut prespektif Al-Quran dan Al-Hadith. Tugasan ini ana sediakan untuk ustaz ana iaitu: DR. MOHAMAD KAMIL BIN HJ ABDUL MAJID. Pada semester sebelum ini Dr Mohamad Kamil telah mengajar teras akidah iaitu melalui kursus aliran pemikiran moden dan dalam semester ini beliau telah mengajar kami melalui kursus Hadith Mawdui'. Tugasan ini ana sediakan untuk beliau bukan sahaja sebagai sebahagian dari keperluan kerja kursus, namun sebagai bantuan rujukan untuk beliau menulis artikel mengenai infaq bagi keluaran makalah dari YAPEIM. Berikut adalah petikan dari tugasan ana:-



PENGENALAN

Definasi Infaq

Istilah infaq adalah berasal dari bahasa arab iaitu al-infaq. Kata al-infaq adalah mashdar (kata nama) dari kata anfaqa–yunfiqu–infaq. Perkataan ini memberi makna mengeluarkan atau membelanjakan harta. Istilah ini amat berbeza dengan pemahaman masyarakat kita yang sering mengaitkan infaq dengan sumbangan kewangan kepada masjid dan anak-anak yatim semata-mata sedangkan makna asal perkataan tersebut adalah lebih luas. Secara mudah bolehlah disimpulkan bahawa infaq adalah apa sahaja harta yang dikeluarkan atau dibelanjakan kerana Allah bagi tujuan kebaikan. Sebagai contoh mari kita lihat ayat quran berikut:


الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain , dan karena mereka telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” (An-Nisa: 34)


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الأَرْضِ

“Hai orang-orang yang beriman, keluarkanlah zakat sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (Al-Baqarah: 267)



Perbezaan Infaq Dan Zakat

 Oleh kerana kurangnya pemahaman masyarat umum tentang istilah infaq, zakat dan sedekah, maka saya cuba mengupas sedikit sebanyak tentang perbezaan antaranya supaya dapat memudahkan masyarakat umum dalam beramal. Saya akan mulakan dengan menerangkan tentang perbezaan antara infaq dan zakat. Asal perkataan zakat adalah bermula dari perkataan “zaka” yang dari segi bahasa bermaksud “bersih”, “suci”, “subur”, “berkah” dan “berkembang”. Manakala menurut istilah syariah, “zakat adalah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak”. 2 Berbeza dengan infaq, zakat adalah salah satu dari rukun islam yang telah difardhukan ke atas tiap-tiap orang islam yang memenuhi syarat-syaratnya sesuai dengan  firman Allah Ta’ala:


وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat”.   (An-Nur: 56)


قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)”. (As-Syams: 9)

Perbezaan Infaq Dan Sedekah

 Seterusnya mari kita lihat apakah perbezaan antara infaq dan sedekah. Sedekah adalah setiap perbuatan baik yang dapat memberikan manafaat bagi diri sendiri dan juga orang lain. Sebagai contoh setiap doa, nasihat, senyuman, membuang duri dari jalanan bahkan dalam soal berjimak dengan isteri adalah dikira sebagai suatu sedekah. Dalil tentang sedekah yang tidak dianggap infaq adalah seperti dibawah: 4

"Senyumanmu untuk saudaramu adalah sedekah" (H.R. Bukhari Kitab Adab)

"Doa keselamatan yang datang dari salah seorang di antara kamu sekalian akan menjadi sebuah amal sedekah. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap suruhan kepada kebaikan adalah sedekah, dan larangan kemungkaran adalah sedekah. Sedekah juga dapat diperoleh melalui shalat dhuha 2 rakaat" (H.R. Bukhari no. 2989, Muslim no. 1668).

"Dalam tubuh manusia terdapat 360 persendian (ruas tulang), maka wajib bagi setiap persendian diberi sedekah. Lalu mereka bertanya, siapa yang mampu melaksanakan semua itu wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab, kamu cukup menutup (membersihkan) air ludah yang ada di dalam masjid dan menyingkirkan sesuatu yang menghalangi jalan …. seterusnya …. Jika itu semua tidak mampu engkau laksanakan, cukuplah bagimu melaksanakan 2 rakaat shalat dhuha" (H.R. Abu Daud, Kitab Shalat no. 1285, 1286, 5243).



KELEBIHAN  INFAQ DALAM ISLAM

Infaq Menurut Al-Quran Dan Hadith

Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan AL-Hadith, perbuatan menginfaqkan sebahagian harta kejalan Allah amat dituntut dalam agama. Antara hikmah menginfaq sebahagian harta kepada golongan tertentu yang memerlukan adalah supaya pengagihan kitaran kekayaan dapat dilakukan secara adil dan saksama dalam sesebuah masyarakat. Tuntutan ini dilihat bukan sahaja dapat mengelakkan berlakunya monopoli harta dalam kelompok individu tertentu namun ianya dapat membersihkan jiwa manusia daripada sifat mazmumah seperti tamak, bakhil dan individualistik. Terdapat banyak anjuran untuk ber infaq telah diceritakan dalam Al-Quran dan Al-Hadith, antara contohnya seperti yang terdapat dalam hadith Qudsi adalah seperti berikut: 5

“Wahai Bani Adam ! lakukanlah infaq, pasti Aku akan limpahkan kurnia kepadamu. Sesungguhnya nikmat dan kelebihan Nya, sangat penuh berlimpah ruah, tidak susut sedikitpun baik siang maupun malam.”

Dalam hadith ini Allah telah memerintahkan manusia supaya melakukan infaq dan membelanjakan sebahagian dari rizqi yang telah dikurniakan untuk diberikan kepada fakir, miskin dan orang yang sangat memerlukannya supaya mendapat kebaikan dan kemanafaatan orang ramai. Allah juga telah berjanji untuk pasti serta tetap akan membalas infaq dan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh hambanya itu dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Infaq Di Zaman Sekarang

Pada zaman sekarang dimana orang islam telah jauh ketinggalan berbanding dengan orang bukan islam terutamanya dari sudut ekonomi, seharusnya menyebabkan orang islam berasa malu dan cuba untuk mengatasinya dengan cara balik kepada panduan agama islam. Jika dikaji punca permasaalahan ini maka salah satu penyebab utamanya adalah disebabkan oleh orang islam sendiri telah mula meninggalkan anjuran agama seperti untuk melakukan infaq. Ini amat bertepatan dengan hadith tentang sifat manusia yang tertarik kepada harta kekayaan serta bersifat bakhil untuk mengeluarkan belanja untuk faedah orang ramai iaitu: 7


لَوْ كَانَ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ ؛ لاَبْتَغَى ثَالِثاً , وَلاَ يَمَلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلاَّ التُّرَابُ , وَيَتُوْبُ الله عَلَى مَنْ تَابَ

“Seandainya anak Adam memiliki dua lembah harta; pasti ia menginginkan yang ketiga, sedangkan perut anak Adam tidaklah dipenuhi kecuali dengan tanah, dan Allah memberi taubat-Nya kepada yang bertaubat.” (HR. Bukhari: Jilid 4 No 1739 & Muslim: Jilid 2 No 1010)


إِنَّ لِكُلِّ أُمَّةٍ فِتْنَةً وَفِتْنَةُ أُمَّتِي الْمَالُ

“Sesungguhnya setiap umat mendapatkan fitnah dan fitnah umat ini adalah harta.” (HR. Tirmizi)

Wakaf Sebagai Cara Berinfaq

Pada zaman sekarang terdapat banyak cara dan saluran yang boleh dimanafaatkan oleh seseorang individu untuk melaksanakan infaq. Antaranya adalah melalui kaedah wakaf. Ibadah wakaf memang telah wujud sejak sekian lama; sebagai contoh terdapat tanah-tanah yang telah diwakafkan oleh masyarakat terdahulu untuk tujuan pembinaan masjid, surau, sekolah agama dan tapak perkuburan. Di Negeri Selangor, antara tugas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) adalah bagi menguruskan harta-harta wakaf tersebut. Melalui Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) tahun 1999, satu prosedur pendaftaran tanah wakaf telah diwujudkan bagi mengenal pasti harta-harta wakaf dan didaftarkan di atas nama MAIS sebagai pemegang amanah bagi mengatasi sebarang masalah di samping ingin memperkasakan harta wakaf supaya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.



 KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat kita ambil melalui aktiviti infaq adalah; perbuatan menginfaqkan sebahagian harta kejalan Allah amat dituntut dalam agama kerana selain ianya berfungsi sebagai perbersihan jiwa individu daripada sifat mazmummah, ianya juga dapat berfungsi sebagai ikatan kasih sesama manusia dan pengagihan kitaran kekayaan secara adil dan saksama dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu ianya harus dilihat sebagai hubungan dua hala seorang insan iaitu penghubung sesama manusia dan tali pengikat antara hamba dengan tuhannya.

Terdapat banyak cara perlaksanaan infaq dan salah satunya adalah melalui kaedaf wakaf. Walaupun wakaf dapat dilaksanakan melalui individu atau secara kumpulan namun perlaksanaan wakaf melalui suatu badan bertauliah dilihat dapat menguruskan dan melaksanakan aktiviti infaq secara lebih teratur dan professional didalam skala yang lebih besar dan berkesan.

Akhir sekali janganlah kita lupa bahawa infaq juga termasuk dalam salah satu cara beramal setelah kita meninggal dunia iaitu sebagai pahala sadaqatul jariyah seperti yang telah diriwayatkan dari baginda s.a.w. iaitu:


إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ

“Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali karena tiga hal; Shadaqah jariyah, Ilmu yang bermanfaat dan Anak shaleh yang mendoakannya.” (HR. Muslim: 1614)






Abul Sufi, 




A268

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. (Al-Baqarah 2:268)

No comments:

Post a Comment