Sebagai anak yang baru belajar serta masih mentah, ana telah mula didedahkan dengan subjek pertama yang penting iaitu yang berkaitan dengan akidah oleh: PROF. MADYA DR. MOHD FAUZI BIN HAMAT. Tugasan yang diberikan adalah berkenaan kesan rukun iman dalam kehidupan manusia dan ana telah memilih "Beriman Kepada Allah" sebagai tajuk perbincangan. Berikut adalah petikan dari tugasan ana.
Pengenalan Kepada Tauhid
Matlamat utama pendidikan akidah Islam
ialah mendidik manusia supaya mengakui keesaan dan ketunggalan Allah swt
sebagai tuhan yang wajib disembah. Tiada sekutu bagiNya. Ini dijelaskan oleh
Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud: 9
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani."
"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;" (Al-Ikhlaas 112:1)
"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (Al-Ikhlaas 112:2)
"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; (Al-Ikhlaas 112:3)
"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".(Al-Ikhlaas 112:4)
Ayat di atas mendidik manusia supaya
mengaku keesaan dan kekuasaan Allah swt. Ayat ini diturunkan di Makkah di awal
perkembangan Islam. Oleh kerana akidah merupakan asas kepada kekuatan dan
pembinaan Islam sebagai ad-Din maka wahyu-wahyu yang terawal yang diturunkan
kepada Nabi Muhammad saw menjurus kepada pendidikan akidah bagi menanam
keyakinan yang teguh dalam jiwa manusia tentang keesaan Allah swt.10
Melahirkan manusia yang patuh dan tunduk
kepada Allah swt .Pendidikan akidah juga penting untuk mendidik manusia supaya
patuh dan tunduk kepada kebesaran dan keagongan Allah swt. Membentuk
keperibadian insan. Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air
kandungannya maka demikianlah akidah dapat membentuk dan mendidik orang yang
mengambilnya menepati dengan hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli
seperti yang dikehendaki oleh penciptanya. Pendidikan akidah dapat membentuk
sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya. 11
Ringkasnya pendidikan akidah bermatlamat
untuk membentuk nilai akhlak dan keperibadian seseorang insan yang akan
mencorakkan suluk amali atau gerak laku amal perbuatan selaras dengan peranan
dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah swt di muka bumi ini. Menurut
Mohd Sulaiman Yasin (1987), Akidah Islam ialah akidah yang bersumberkan
ketuhanan (akidah Rabbaniyyah) yang tetap, syumul, menyeluruh dan fitrah.
Tabiat akidah yang demikian ialah akidah yang kukuh dan teguh. Hanya akidah
yang teguh sahaja dapat membentuk manusia yang teguh dan kukuh. Kekukuhan dan
keteguhan akidah ialah kerana kekukuhan dan keteguhan ciri-ciri yang menjadi
kandungan akidah itu, yang merangkumi segala hakikat iaitu hakikat ketuhanan,
hakikat alam semesta dan hakikat kemanusiaan serta nilai-nilai kebenaran,
kebaikan dan keindahan. Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi sumber
kekuatan Islam. Itulah hakikat kekuatan umat Islam, kekuatan jiwa dan rohani
serta peribadinya yang menjadi asas kepada kekuatan jasmaninya. 12
Tauhid Rububiyah
Tauhid Rububiyyah bermaksud mengimani dan
yakin bahawa Allah swt sahaja Tuhan yang mencipta alam ini.13 Mentauhidkan Allah swt
sebagai pencipta, pengurus, pentadbir, pengatur, pemerintah, pendidik,
pemelihara dan pengasuh sekelian alam. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyebut
tentang tauhid Uluhiyah ini. Antaranya firman Allah yang bermaksud:14
"Tidakkah engkau telah nampak dan mengetahui bahawa Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat? Jika Ia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu." (Ibrahim 14:19)
Dalam beberapa ayat yang lain Allah swt
menyebut bahawa orang-orang kafir juga percaya kepada Rububiyah Allah swt
dengan mengaku bahawa Allah swt adalah pencipta langit dan bumi. Firman Allah
swt yang bermaksud: 14
"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?" (Az-Zukhruf 43:87)
Tauhid Uluhiyah
Beriman kepada Uluhiyyah Allah swt
bermaksud yakin bahawa Allah swt sahaja Tuhan yang patut disembah, dipohon
segala doa, dipatuhi, dicintai, ditakuti, dan tawakkal kepadaNya. Seterusnya
mnerima segala hukumNya dengan yakin dan redha. Ringkasnya Tauhid Uluhiyyah ini
menuntut seseorang meyakini kemutlakan kekuasaan Allah swt yang menjadi tempat
tumpuan segala makhluk sama ada dari segi sembahan atau memohon segala doa dan
hajat.15 Keyakinan
ini menetapkan bahawa hanya Allah swt sahaja yang berkah menentukan hukum dan
peraturan bagi seluruh makhluk di alam ini. Di antara ayat al-Quran yang
membicarakan tentang Uluhiyyah Allah swt adalah seperti berikut. Firman Allah
swt yang bermaksud: 16
"Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan." (Al-Faatihah 1:5)
Sesungguhnya kebanyakan manusia sejak
dahulu hingga kini mengakui Tauhid Rububiyyah Allah swt dengan mengakui bahawa
Allah swt menciptakan langit dan bumi serta sekelian alam ini. Tetapi mereka
ingkar secara perkataan dan perbuatan terhadap Uluhiyyah Allah swt seperti
beribadat kepada yang lain dari Allah swt serta tidak melaksanakan syariat dan
hukum Allah swt dalam kehidupan ini.
Keselarasan di antara Tauhid Uluhiyyah dan
Tauhid Rububiyyah adalah penting untuk memastikan keimanan yang sejati terhadap
Allah swt. Ini adalah kerana Tauhid Rububiyyah adalah adalah merupakan
pengakuan bahawa Allah swt adalah sumber cipta. Sementara Tauhid Uluhiyyah
ialah suatu pengakuan bahawa Allah swt adalah Tuhan yang wajib disembah dan
tempat tumpuan sekelian makhluk. 17
Kesan Tauhid Kepada Kehidupan Manusia
Pengakuan tauhid banyak memberi kesan kepada kehidupan manusia dan kerugian
akan menimpa kepada manusia yang tidak beriman kepada allah s.a.w. Antara
kesannya adalah: 18
·
Orang
yang beriman dengan kalimah tauhid tidak mungkin mempunyai pandangan yang
sempit. Sesungguhnya, ia telah beriman kepada allah yang mencipta langit dan
bumi iaitu tuhan sekalian alam. Baginya tiada suatu keganjilan pun di alam ini
setelah ia beriman, kerana segala yang ada padanya adalah milik mutlak allah bahkan
ia menjadi orang yang mempunyai pandangan luas, tidak ada sesuatu yang
menyempitkan kerana semuanya milik Allah Taala. Ini adalah suatu perkara yang
tidak mungkin dicapai oleh seseorang yang mengatakan Tuhan berbilang, atau
orang yang mengitikadkan Allah mempunyai sifat-sifat manusia yang mempunyai
kekurangan dan yang terhad, atau orang yang tidak mengenal Allah sama sekali.
·
Sesungguhnya
percaya akan kalimah tuhan itu esa boleh membina kemurnian dan kemuliaan jiwa
di dalam diri manusia kerana hanya Allah adalah pemilik hakiki setiap kekuatan
yang ada dalam alam ini. Tiada yang memberi mudrat dan tiada yang memberi manfaat
melainkan Dia. Pada waktu yang sama, mengimani kalimah ini akan menimbulkan
tawadhu dalam diri manusia. Orang yang mengatakan tiada Tuhan melainkan Allah,
tiada mungkin menjadi orang yang angkuh dan takabbur. Ia sentiasa murka kepada
syaitan tipuan dan akan dilawannya dengan kekuatan dan keupayaannya. Ia
mengetahui dan menyakini bahawa Allah lah yang memberi Allah jugalah yang
berkuasa menghilangkannya jika dikehendakiNya.
·
Dengan menghayati kalimah tauhid, manusia tidak
akan mengalami putus asa dan patah hati dalam setiap suasana. Beriman kepada
Zat yang bagiNya perbendaharaan langit dan bumi, Zat yang tidak dapat dihitung
nimat dan kurnia nya dan tiada dapat diukur kekuatanNya pasti akan dikurniakan
rasa tenang luar biasa, rasa tenteram dan penuh cita-cita. Maka datang perasaan
Allah tiada pernah lupa daripadanya dan tidak akan membiarkannya bersendirian
menyebabkan manusia sentiasa berusaha dengan sungguh-sungguh, terus menerus
menyerahkan din dan memohon pertolongan daripadaNya dalam setiap keadaan.
Adapun orang-orang kafir dan musyrik, mereka mempunyai hati yang lemah,
berpegang kepada kekuatan yang terhad, berputus asa dan patah hati akan menimpa
mereka dalam keadaan sukar. Kadang-kadang penderitaan ini mendorong perbuatan
bunuh din.
·
Mengimani kalimah tauhid dapat mendidik manusia
untuk mempunyai keazaman, maju ke depan, sabar, tetap pendirian dan tawakkal dalam melaksanakan pekerjaan didunia ini
untuk memperolehi keredhoan Allah. Ia mempunyai keyakinan yang sempurna bahawa
di belakangnya berdiri kekuatan pemilik langit dan bumi, yang pasti menolong
dan membimbingnya pada setiap perjalanan yang ditempohi. Oleh itu manusia akan
memperolehi ketetapan hati dan keteguhan azam yang tidak sesekali goyang dari
landasan hidup. Ini sudah pasti berlainan dengan kesyirikan dan kekufuran yang
tidak akan mempunyai kekuatan dan ketetapan hati yang seperti ini.
·
Yang
paling penting adalah dengan beriman bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah menyebabkan
manusia terikat kepada undang-undang Allah dan patuh kepada undang-undang tersebut.
Seorang mukmin yang beriktiqodnya sesungguhnya meyakini bahawa Allah mengetahui
segala-galanya. Segala perbuatan dan gerak geri samada yang zahir mahupun yang
tersembunyi dihati Allah lah yang maha mengetahui. Maka apabila iman itu telah
tetap dalam diri seorang mukmin, ia akan mengikut hukum Allah, berdiri pada
sempadannya. Ia tidak akan melakukan apa yang diharamkan Allah. Ia akan
bersegera berbuat kebaikan dan mengamalkan apa-apa yang diperintahkan Allah,
walaupun di dalam malam yang gelap atau dalam keadaan bersendiri dan terasing. Oleh
kerana itu, beriman kepada Allah telah diletak sebagai syarat penting pula
untuk menjadikan manusia itu seorang Muslim. Seorang muslim yang beriman pula
ialah hamba yang taat dan terikat hanyalah kepada Allah Taala.
Iman bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah
adalah rukun yang penting yang bersifat asasi dalam pengajaran Nabi s.a.w. 19 Ia adalah pusat dan
asal agama Islam itu sendiri. Ia merupakan sumber kekuatan diri, itiqad-itiqad islami,
hukum dan undang-undangnya yang kesemuanya berdiri teguh di atas asas ini. Oleh
itu kekuatan Islami dalam diri seseorang itu akan mudah tanggal apabila asas
tauhid iaitu beriman kepada Allah tidak kukuh atau hilang dari hati seorang
muslim.
Kesimpulan
Kepentingan beriman kepada Allah akan membentuk
seseorang yang mempunyai keperibadian yang unggul yang akhirnya akan dijelmakan
melalui tingkah-laku, percakapan dan gerak-geri seseorang. Akidah Islam yang
telah meresap ke dalam jiwa akan menimbulkan kesan di antaranya dapat digariskan
seperti berikut:
·
Akidah Islam melahirkan insan yang yakin kepada
Allah swt yang maha esa. Lantaran itu menggerakkan seluruh tingkah-lakunya,
percakapannya dan gerak-gerinya untuk mencari keredhaan Allah swt.
·
Akidah Islam melahirkan insan yang teguh
pendiriannya, mempunyai perinsip dan tidak mudah terpengaruh dengan
persekitaran dimana manusia mampu membezakan dan memilih nilai-nilai yang
positif serta menolak nilai-nilai negatif. Ianya juga dapat memberi ketenangan
tanpa mudah putus asa atau hilang harapan dimana manusia akan lebih bersifat
redho dan tawa’dhu dalam menghadapi cabaran kehidupan zaman moden ini.
·
Akidah
Islam melahirkan manusia yang sanggup berjihad ke jalan Allah swt walaupun
harta dan nyawa menjadi taruhan. Pada zaman ini walaupun tidak jihad dengan
nyawa, masih ramai pendakwah yang berjihad dijalan Allah untuk menyebarkan
kebenaran Islam terutamanya kepada manusia yang masih kafir.
·
Akidah
Islam melahirkan insan soleh. Insan yang melakukan apa yang diperintahkan oleh
Allah dan meninggalkan segala larangan dan kemungkaran. Ia juga dapat memberi
kesan dimana perubahan dari sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong,
takabur dan seumpamanya kepada akhlak-akhlak yang terpuji. Oleh itu tiada
jenayah yang berlaku kerana manusia yakin kepada hari pembalasan.
Abul Sufi,
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Maaidah 5:3)
No comments:
Post a Comment