Title Bar

Monday, 25 June 2012

Surah Yang Menjadi Syafaat Didalam Kubur


Bismillah

Dengan nama Allah yang maha pemurah, lagi maha mengasihani. Selawat serta salam atas junjungan Nabi Muhammad (saw), keluarganya, para sahabat, tabi' dan tabien, para ulama dan guru-guru serta sekelian mukminin dan mukminat keseluruhannya.

Alhamdullillah, kali ini ana post tentang kelebihan surah Al-Mulk dimana ianya akan menjadi syafaat (penolong) semasa didalam kubur. Sekiranya anda bimbang akan soalan didalam kubur (walaupun soalannya dan jawapannya telah lama di ketahui), bimbang akan kegelapan didalam kubur dan bimbang bersendirian didalam kubur, surah ini wajip kita amalkan setiap hari. Ana amat yakin akan khasiat surah ini kerana ianya datang dari lidah kekasih ana yaitu junjungan mulia Nabi Muhammmad s.a.w.




Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada satu surah dalam al-Quran yang terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan memberi syafaat kepada seseorang (pembacanya), sehinggalah dia diampunkan. Surah itu adalah surah Tabarak al-Lazi.” (Hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban dalam sahihnya)
Keterangan
       Tentang surah Tabarak al-Lazi juga ada satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada dalam setiap hati orang yang beriman.” Mengikut satu hadith lagi, seseorang yang membaca surah Tabarak al-Lazi dan ‘Alif Lam Mim Sajadah antara solah maghrib dan ‘isyak adalah seumpama seseorang yang beribadat sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang membaca kedua-dua surah ini, tujuh puluh pahala akan dituliskan untuknya dan tujuh puluh dosa akan dijauhkan daripadanya. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, dituliskan untuknya pahala yang menyamai pahala ibadat pada malam Lailatul Qadar (Ini juga disebutkan dalam kitab Mazahirul-Haq.)
       Imam Tirmizi rah. meriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin ‘Abbas r.anhuma, “Sekumpulan sahabat r.a telah mendirikan khemah di suatu tempat tanpa mengetahui bahawa di situ terdapat sebuah kubur. Tiba-tiba mereka yang mendirikan khemah itu mendengar seseorang sedang membaca surah Tabarak al-Lazi. Mereka datang dan menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w menerangkan bahawa surah ini akan menjaga pembaca daripada azab Allah s.w.t dan menjamin keselamatan (najat).” Hazrat Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak akan pergi tidur sebelum membaca surah Alif Lam Mim Sajadah dan Tabarak al-Lazi.
       Hazrat Khalid bin Ma’adan r.a berkata bahawa satu riwayat telah sampai kepadanya yang mengatakan bahawa ada seorang pendosa besar yang selalu membaca surah al-Sajadah. Dia tidak pernah membaca surah lain. Surah itu telah mengembangkan sayapnya ke atas orang itu dan memohon kepada Allah s.w.t, “Wahai Tuhanku, orang ini kerap kali membaca daku.” Syafaat daripada surah ini diterima oleh Allah s.w.t maka kerana itu diperintahkan supaya setiap dosanya digantikan dengan pahala.” Hazrat Khalid bin Ma’adan r.a juga telah meriwayatkan bahawa, “Surah ini akan merayu bagi pihak pembacanya dalam kubur dan berkata, “Ya Allah, jika aku ini berada dalam kitabMu maka terimalah syafaatku, jika tidak, hapuskanlah sahaja daku daripada kitabMu.” Surah ini akan muncul dalam bentuk seekor burung, mengembangkan sayapnya ke atas mayat itu dan melindungi mayat itu daripada seksaan kubur. Hazrat Khalid bin Ma’adan r.a juga berkata bahawa semua kelebihan di atas adalah juga untuk surah Tabarak al-Lazi.
       Hazrat Khalid bin Ma’adan r.a sendiri tidak akan pergi tidur sehinggalah beliau selesai membaca dua surah ini. Hazrat Ta’us  rah. berkata, “Kedua-dua surah ini mendatangkan enam puluh ganjaran yang melebihi setiap surah lain dalam al-Quran.”
       Seksaan dalam kubur bukanlah suatu perkara yang ringan. Setelah meninggal dunia, kubur ialah perhentian pertama yang seseorang itu mesti lalui. Apabila Hazrat ‘Uthman r.a berdiri di atas sebuah kubur, beliau akan menangis dengan hebatnya sehingga janggut beliau dibasahi air mata. Seseorang telah bertanya, “Tuan tidak menangis begitu rupa jika disebut tentang syurga atau neraka sebagaimana tuan menangis ketika berada di kubur. Beliau menjawab, “Saya telah mendengar daripada Rasulullah s.a.w bahawa kuburlah tempat persinggahan pertama untuk menuju ke akhirat. Sesiapa terselamat dariapda azab kubur, peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Sementara sesiapa yang tidak selamat daripada azab kubur, ujian-ujian yang akan datang lebih sukar lagi. Saya juga mendengar bahawa tidak ada satu keadaan pun yang lebih menggerunkan daripada keadaan yang ada dalam kubur.” (Jam’ul-Fawaid)


Abul Sufi,

Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
A001
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; (Al-Mulk 67:1)

No comments:

Post a Comment