Title Bar

Monday, 10 December 2012

Institusi Pemerintahan Dalam Islam

Dengan nama Allah yang maha pemurah, lagi maha mengasihani. Selawat serta salam atas junjungan Nabi Muhammad (saw), keluarganya, para sahabat, tabi' dan tabien, para ulama, guru-guru, mukminin dan mukminat serta sekelian muslimin dan muslimat keseluruhannya.


Fiqh siasah adalah ilmu dalam bidang berpolitik. Ilmu ini kurang dibicarakan dan disampaikan mungkin kerana suasana politik masyarakat Malaysia yang taksub terhadap politik kepartian menyebabkan adanya kekangan dalam menyampaikan ilmu siasah yang berlandaskan agama islam yang sebenar. Antara kursus yang ana ikuti dalam semester ini adalah mengenai institusi pemerintahan dalam islam. Kursus ini disampaikan oleh DR. BHARUDDIN BIN CHE PA. Tugasan yang ana siapkan untuk beliau adalah "Negara Islam Madinah Adalah Sebuah Negara Contoh" dan berikut ana postkan ringkasan tugasan tersebut.





ABSTRAK

Walaupun adanya percanggahan pendapat dikalangan fuqaha dalam menentukan samaada sesebuah negara itu boleh dianggap sebagai sebuah negara islam ataupun tidak, terdapat kesepakatan bahawa negara islam madinah merupakan sebuah negara islam moden lengkap berpelembagaan diasaskan oleh baginda Rasullullah Muhammad saw dimana ianya boleh dijadikan sebagai model dan rujukan terbaik dalam menubuhkan atau mengklasifikasikan bahawa sesebuah negara itu adalah sebuah negara islam ataupun tidak. Oleh itu dalam laporan saya ini saya cuba untuk berkongsikan tentang ciri-ciri negara islam madinah yang mempunyai persamaan dengan kerajaan dizaman ini disamping untuk menjustifikasikan sekiranya sesebuah negara itu boleh diklasifikasikan sebagai negara islam.

Dalam bab yang pertama, saya telah membentangkan apakah yang disebut sebagai negara islam serta ciri-cirinya. Kemudian saya telah menyenaraikan apakah perbezaan antara negara islam dengan negara bukan islam. Seterusnya dalam bab kedua, saya telah memfokuskan tentang negara islam madinah bermula dengan sejarahnya, ciri-ciri negara islam madinah, piagam madinah dan kepentingannya sebagai perlembagaan awal sebuah kerajaan islam dan ciri-ciri perlembagaan madinah yang diguna pakai oleh kebanyakkan kerajaan dizaman ini sebagai asas perlembagaan mereka.

Akhirnya dalam membuat kesimpulan, saya dapati kesan penubuhan negara islam madinah bukan sahaja telah dijadikan contoh dalam membentuk kebanyakkan perlembagaan kerajaan dunia yang ada dizaman ini, namun sebaliknya jika kita ingin mengembalikan kegemilangan umat islam seperti zaman Rasullullah saw hingga ke zaman uthamniyyah, maka sebuah kerajaan yang berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah seperti model negara islam madinah yang dibina oleh baginda Rasullullah saw haruslah dibina sepertinya atau seberapa hampir dengannya.


KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat diambil melalui penubuhan negara islam madinah ialah sejak di zaman Rasulullah saw lagi usaha membangunkan tamadun sudah mula berjalan dimana kota madinah telah dijadikan asas pembinaan kerajaan islam ideal yang meletakkan agama sebagai tunjang kemajuan dan perlembagaan sesebuah negara. Masyarakat Madinah yang berbilang bangsa dan agama, Perlembagaan Madinah dijadikan rujukan, tradisi suffah (pendidikan) yang berkembang, pengaruh Islam yang meningkat memberikan petanda konsep madaniyyah atau kemajuan mengikut model kerajaan Madinah telah menjadi asas perkembangan kerajaan dunia selepasnya.

Banyak penyataan asas yang dibuat oleh kerajaan di zaman ini adalah berasal dari fasal yang termaktub didalam piagam madinah. Walaupun akta atau artikel tertentu yang dimasukkan kedalam perlembagaan sesebuah negara, ianya dibuat bagi menyesuaikan sesuatu perlembagaan menurut persekitaran, budaya dan keperluan masyarakat setempat dalam negara tersebut. Oleh itu fasal-fasal yang termaktub dalam piagam madinah masih dijadikan asas dalam perlembagaan sesebuah negara seperti dalam mentakrifkan hak sesuatu ummah dan kerakyatan sesebuah negara, fasal yang terdapat dalam piagam madinah iaitu fasal 1, 2, 3, 24, 25 dan 26 telah menjelaskan secara terperinci hak warganya dimana ianya bolehlah disamakan dengan artikel mengenai hak rakyat dalam perlembagaan Malaysia. Begitu juga lain-lain artikel dalam perlembagaan yang boleh dikaitkan dengan piagam madinah melalui beberapa penyataan asas.

Walaupun selepas peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat, Islamiphobia atau rasa takut terhadap Islam kian ketara, namun minat masyarakat Barat terhadap dunia islam dilaporkan semakin meningkat. Dengan pendekatan wasatiyyah yang dijalankan oleh pentadbiran di Malaysia disamping berfungsi sebagai pengerusi OIC, Malaysia cuba menarik minat negara islam lain termasuk negara Barat untuk memahami pendekatan yang digunakannya dalam mentadbir masyarakat berbilang kaum dan agama disamping menjadi model kemajuan dan pembangunan negara umat islam membangun yang tidak menolak kepentingan prinsip Islam.

Abul Sufi,











A024
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (As-Sajdah 32:24)

Monday, 3 December 2012

Fiqh Sunnah 1

Dengan nama Allah yang maha pemurah, lagi maha mengasihani. Selawat serta salam atas junjungan Nabi Muhammad (saw), keluarganya, para sahabat, tabi' dan tabien, para ulama, guru-guru, mukminin dan mukminat serta sekelian muslimin dan muslimat keseluruhannya.

Alhamdulillah, setelah agak lama tiada posting, kali ini ana akan post mengenai kursus yang ana ikuti semester ini. Kursus yang pertama adalah mengenai fiqh sunnah 1. Kursus ini adalah ulangan pembelajaran fardhu ain namun dilihat dari pelbagai sudut dan fahaman mazhab. Terdapat juga pandangan dari para sahabat, tabi' dan tabien serta ulamak masyhur mengenai sesuatu isu yang dibincangkan. Secara keseluruhannya ianya adalah perbincangan mengenai tajuk bersuci, najis, wuduk, tayammum, haid, nifas, istihadah, solat, zakat, puasa, haji dan umrah. Pensyarah yang bertugas dalam kursus ini adalah DR. SAADAN BIN MAN. Tugasan yang diberikan adalah secara berkumpulan dan berikut ana postkan ringkasan tugasan tersebut.




HURAIAN TERHADAP PANDANGAN ULAMA APABILA MUKHALAFAH DENGAN IMAM (DALAM KES MENDAHULUI, MENYAMAI DAN KETINGGALAN) KETIKA SOLAT JEMAAH


PENGENALAN

Definasi Mafhum Al-Mukhalafah

Dalam Ilmu Usul Fiqh, terdapat pecahan dalam mendapatkan sumber-sumber hukum seperti al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan qiyas. Terdapat juga kaedah yang didapati melalui sumber-sumber yang tidak disepakati seperti istihsan, istishab dan lain-lain lagi. Salah satu daripada pecahan ilmu usul fiqh ialah mafhum dimana ianya terbahagi kepada dua bahagian iaitu mafhum muwafaqah dan mafhum mukhalafah. Aspek yang hendak dibincangkan dalam tugasan ini ialah mafhum mukhalafah iaitu untuk mengetahui makna difahami daripada lafaz secara berlawanan atau bersalahan.

Dari sudut bahasa “mafhum al-mukhalafah” bermaksud makna yang difahami daripada lafaz secara bersalahan. Manakala dari sudut istilah pula ianya bermaksud makna yang ditunjuk oleh lafaz pada tempat yang tidak disebut bertentangan dengan yang ditunjuk oleh lafaz pada tempat percakapan. Secara umumnya juga mafhum al-mukhalafah ialah makna yang tersirat dimana ianya bertentangan dengan makna lafaz yang tersurat.1 (Ismail Mahmood et.al 2003: 202)

Mafhum al-Mukhalafah terdiri daripada beberapa bahagian iaitu Mafhum al-Sifah, Mafhum al-Shart, Mafhum al-Ghayah, Mafhum al-‘Adad, Mafhum al-Laqab dan Mafhum al-Hasr.
 
Pandangan Ulama Mengenai Mafhum Al-Mukhalaf

Di dalam menentukan sesuatu bahagian mafhum mukhalafah, terdapat perselisihan pandangan ulama tentang sesuatu bahagian tersebut. Sesetengah ulama tidak berpegang dengan mafhum al-sifah tetapi berpegang dengan mafhum al-istisna’ dan sebagainya. Oleh itu ianya boleh dibahagikan kepada dua golongan atau dua pendapat. Pendapat pertama: Jumhur ulama termasuk Shafie, Malik dan Ahmad dan sekumpulan dari ahli bahasa Arab berhujah dengan mafhum al-mukhalafah kecuali mafhum al-laqab, maka ia tidak menjadi hujah di sisi mereka kecuali Abu Bakar al-Daqqaq dan orang yang sependapat dengannya.  Manakala pendapat kedua: Golongan Hanafiyyah, jumhur Mu’tazilah dan sebahagian daripada Shafi’yyah seperti Ibnu Surayj dan al-Qaffal, mereka mengingkari mafhum al-mukhalafah.2

Namun begitu perlu diketahui tempat persepakatan (mahall al-wifaq) dan tempat perselisihan (mahall al-niza’) diantara dua pendapat tersebut. Mahall al-wifaq: Jika ternyata ada faedah lain selain daripada penafian hukum daripada zat ketika tidak ada sifat atau ikatan tersebut maka mafhum mukhalafah telah disepakati untuk tidak diamalkan dan Mahall al-Niza’: Jika tidak ternyata faedah daripada ikatan itu selain daripada penafian hukum daripada zat ketika tidak ada sifat atau ikatan tersebut, maka inilah tempat yang menjadi perselisihan kedua-dua golongan ini.

Hujah golongan pertama adalah hujah golongan jumhur dimana mereka berhujah dengan dalil naqli dan aqli. Seperti dalam persoalan yang timbul berkaitan mengqasarkan sembahyang dan mengapa kita perlu mengqasarkan solat pada masa kita telah aman, sedangkan Allah Ta’ala berfirman:

Maksudnya: Maka tidak ada ke atas kamu mengqasarkan sembahyang jika kamu takut. (Al-Nisa’ 4: 101)
Maka Umar r.a berkata: فقد أمن الناس فقال عجبت مما عجبت منه وفسألت النبي (ص) عن ذلك, فقال: صدقة تصدق الله بها عليكم فاقبلوا صدقته.
Maksudnya: Sesungguhnya aku hairan terhadap perkara yang kamu hairan, maka aku tanya Nabi S.A.W mengenainya, maka Baginda menjawab kepadaku: Ia adalah sedekah yang disedekahkannya oleh Allah kepada kamu, maka terimalah sedekahnya.
(Muslim daripada Ya’la)
Di sini Umar r.a memahami sebagaimana yang Ya’la fahami, iaitu tidak boleh qasar jika tidak di dalam keadaan takut. Ini bererti kedua-duanya berpegang dengan mafhum al-mukhalafah.

Hujah golongan kedua pula adalah hujah daripada golongan Hanafiyyah yang berhujah dengan menggunakan beberapa dalil. Antara hujah mereka ialah terdapat ayat quran dan hadith yang tidak diamalkan dengan mafhum mukhalafah, antaranya:

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada-Nya. (Al-Taubah 9: 36)
Mafhumnya boleh melakukan kezaliman pada bulan-bulan lain selain bulan haram (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam), sedangkan hakikatnya ianya adalah dilarang.

Mengaitkan hukum dengan sifat atau qayd tidak menunjukkan ternafinya hukum daripada mawsuf ketika tidak ada sifat kerana sah dikatakan: في الغنم السائمة زكاة ولا زكاة في المعلوفة
Maksudnya: Dikenakan zakat pada kambing yang dilepaskan secara bebas dan tidak dikenakan zakat pada kambing yang diberi makan dan tidak dilepaskan secara bebas.

Didalam hal ini, jika mafhum diambil kira maka tidak perlu kepada ibarat (ولا زكاة في المعلوفة) kerana tidak ada faedahnya.
 
KESIMPULAN

Secara jumhurnya (mashyurnya) kesimpulan yang dapat kita ambil melalui perbincangan diatas adalah:

1.      Haram bagi seorang makmum mendahului imam dalam rukun perbuatan solatnya. Apabila perbuatan tersebut disengajakan, maka solatnya boleh dianggap batal.
2.      Makruh bagi seorang makmum menyamai imam dalam rukun perbuatan solatnya. Walaupun ia tidak membawa kepada batal solat tetapi ianya adalah menyalahi sunnah.
3.      Wajip bagi seorang makmum mengikuti imam dalam rukun solatnya sebaik sahaja imam selesai berpindah rukun. Ini bersesuaian dengan sabda baginda: Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya imam itu diangkat untuk diikuti. Oleh karenanya apabila ia bertakbir, maka takbirlah kamu dan janganlah kamu bertakbir hingga ia bertakbir. Dan apabila ia telah ruku’, maka ruku’lah kamu, dan jangan kamu ruku’ hingga ia ruku’. Dan apabila ia telah bersujud, maka bersujudlah kamu, dan janganlah kamu bersujud sehingga ia bersujud”
4.      Secara umumnya terdapat dua jenis makmum yang terlewat dalam mengikuti imam semasa imam takbiratul ihram iaitu makmum masbuq apabila makmum yang tidak sempat membaca fatihah ketika imam bangkit dari rukuknya dan makmum muwafiq apabila makmum sempat membaca fatihah dan rukuk bersama dengan imam.
5.      Bagi makmum yang kurang rakaatnya kerana terlewat semasa mengikuti imam, hendaklah makmum tersebut bangkit dan mencukupkan rakaatnya yang kurang setelah imam selesai memberi salam dalam solat berjemaah. Caranya adalah mengikut baki rakaat yang hendak diselesaikan dan bukan mengikut apakah rakaat yang tertinggal. Contoh semasa solat Maghrib (3 rakaat), Cara betul apabila makmum sempat mengikut imam pada rakaat ketiga adalah setelah imam selesai salam, maka makmum bangkit untuk menambah rakaatnya bermula sebagai rakaatnya yang kedua seterusnya rakaat ketiga untuk menyelesaikan solatnya pula. Yang salahnya adalah makmum bangkit dan buat rakaat pertama dan kedua yang tertinggal semasa berjemaah dengan imam.

Abul Sufi,
A043  
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. (Al-Baqarah 2:43)