Dengan
nama Allah yang maha pemurah, lagi maha mengasihani. Selawat serta
salam atas junjungan Nabi Muhammad (saw), keluarganya, para sahabat,
tabi' dan tabien, para ulama, guru-guru, mukminin dan mukminat serta sekelian muslimin dan
muslimat keseluruhannya.
Untuk post kali ini, ana ingin kongsikan sesi pembelajaran mengenai institusi kekeluargaan. Pensyarah yang
bertugas dalam kursus
ini adalah DR. FAISAL @ AHMAD FAISAL BIN ABDUL HAMID. Tugasan yang beliau berikan adalah cara menulis thesis kajian bertaraf diploma. Walaupun skima permintaan beliau agak tinggi, ana telah cuba melaksanakan sebaik mungkin tugasan tersebut. Berikut adalah antara kandungan tugasan ana tersebut.
ABSTRAK
Solat merupakan amalan fardhu yang amat istimewa kerana
ianya adalah perintah langsung yang terima oleh baginda rasulullah s.a.w. dalam
peristiwa isra dan mikraj. Namun fenomena akhir zaman ini dimana terdapat
segelintir umat baginda yang mengaku beragama islam namun melalaikan perintah
solat adalah amat mendukacitakan. Terdapat dua jenis solat yang disebut baginda
rasullullah s.a.w. iaitu solat fardhu lima kali sehari semalam dan solat sunat
yang banyak dianjurkan oleh baginda untuk dilakukan oleh umatnya. Oleh kerana
solat sunat merupakan pelengkap kepada solat fardhu yang diwajipkan keatas umat
islam, ianya boleh dijadikan kayu pengukur tentang tahap kesedaran umat islam
dalam melaksanakan perintah solat 5 waktu sehari semalam. Kajian ini dilakukan
keatas pelajar semester 4 pengajian usuluddin tahun 2012 untuk mengukur tahap
kefahaman dan istiqamah perlaksanaan solat sunat dikalangan mereka kerana
mereka merupakan contoh rujukan masyarakat sekeliling setelah selesai mengikuti
program di Akademi Pengajian Islam University Malaya (APIUM).
Dalam kajian ini, saya telah memilih pelajar semester 4 tahun 2012
yang sedang mengikuti pengajian Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin di APIUM
sebagai responden dimana seramai 37 pelajar telah dipilih untuk mewakili sampel
kajian. Set soal selidik yang mengandungi 37 item telah diedarkan kepada
responden dan dianalisis secara deskriptif untuk mendapatkan nilai kekerapan,
peratusan serta min dari data yang diperolehi. Analisis soal selidik adalah
menjurus kepada tiga kategori iaitu kefahaman responden tentang solat sunat, jenis-jenis
solat sunat yang di amalkan dan faktor mempengaruhi mereka melakukan solat
sunat tersebut. Hasil analisis ini nanti boleh digunapakai sebagai input untuk
meningkatkan kesedaran pelajar akan kesan amalan solat sunat kepada masyarakat
sekeliling mereka.
1.1 – Perbincangan
Perbincangan pertama adalah mengenai hasil daripada analisa yang
dibuat pada jadual 1. Dapat dilihat bahawa nisbah latarbelakang responden yang
menyertai penyelidikan ini hampir seimbang. Walaupun jumlah pelajar
lelaki (24 orang) hampir dua kali ganda pelajar perempuan (13 orang), ianya
tidak memberikan kesan yang ketara kepada hasil kajian. Kesan yang lebih
penting adalah pada latar belakang pendidikan, budaya ilmu dan hubungan ahli kekeluargaan
responden yang didapati lebih dominan dalam mempengaruhi sikap responden dalam
mengamalkan solat sunat. Dari sudut matematik, nisbah purata peratusan untuk
pilihan 1 adalah 53% dan pilihan 2 adalah 47%. Oleh itu data premier yang
diperolehi boleh dianggap data yang seimbang berdasarkan maklumat demografi dan
latar belakang pelajar yang menjadi responden adalah hampir seimbang dimana hasil
purata peratusan kedua-dua pilihan adalah di antara julat 40% ke 60%. Mengikut
Alias Baba (1990) tiga faktor yang
mempengaruhi pembelajaran individu iaitu faktor latar belakang (persekitaran)
keluarga, kebolehan dan sifat peribadi pelajar. Persekitaran adalah faktor
luaran yang banyak mempengaruhi proses pembelajaran, manakala kebolehan pula
lebih kepada kelebihan yang ada pada individu. Sifat peribadi yang menjurus ke
arah kecemerlangan juga mempengaruhi pencapaian individu. Manakala Hurlock
(1973) pula mengambarkan keluarga sebagai
asas permulaan dalam pembentukan masyarakat. Keluarga sering dikaitkan dengan
ibu dan bapa yang bertindak sebagai pengawal kepada anak-anak. Ikatan pertalian
darah antara ibu bapa dan anak-anak merupakan ikatan yang sangat rapat di mana
anak-anak mendapatkan kasih sayang, perlindungan dan pembelaan. Anak-anak pula
terikat dengan norma-norma yang telah ditetapkan oleh ibu bapa sehingga secara
langsung peraturan-peraturan ini akan dapat mempengaruhi tingkah laku anak-anak
apabila mereka meningkat dewasa.
Perbincangan kedua adalah mengenai hasil analisa yang dibuat pada
jadual 2. Ianya bertujuan untuk mengenalpasti tahap kefahaman responden mengenai
kelebihan solat sunat. Hasil analisa menunjukkan tahap kefahaman responden
mengenai solat sunat adalah tinggi iaitu 90% dan purata min keseluruhan adalah
sebanyak 4.03. Ini menunjukkan bahawa responden faham tentang banyak kelebihan
yang boleh diperolehi melalui ibadat solat sunat seperti yang ditanya dalam senarai
soalan jadual 2. Kepentingan solat sunat dapat dilihat melalui hadith dari
Abi Hurairah r.a. dimana baginda Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya amalan seorang hamba yang
pertama sekali dihisab ialah sembahyangnya. Sekiranya sembahyang itu bagus,
maka dia berjaya. Tetapi jika sembahyang itu rosak, maka dia rugi. Sekira ada
apa-apa kekurangan didalam kewajipannya (solat) maka Allah Azza Wajala
mengatakan: Perhatikan apakah hamba aku mempunyai sembahyang sunat yang boleh
dia menyempurnakan kekurangannya didalam solat fardu. Segala amalannya yang
lain akan diadili seperti itu”. (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud,
Al-Nasaai, Ibn Majah dan Ahmad)
Min yang terendah pula datang dari soalan no 10 dimana masih
kurang responden yang mengetahui bahawa solat sunat juga merupakan salah satu
cara yang berhikmah untuk berdakwah kepada masyarakat. Ini adalah bertepatan
dengan tujuan kajian ini dimana hasilnya boleh dijadikan input untuk
meningkatkan kefahaman dan kesedaran pelajar bahawa solat sunat juga merupakan
sebagai salah satu cara dakwah yang berhikmah kepada masyarakat sekeliling
mereka iaitu berdakwah dengan perbuatan atau amalan yang baik. Dalam hal
berdakwah ini, Allah berfirman: “Dan
hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembang
dan menyebarkan Islam), menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta
melarang daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang
bersifat demikian, ialah orang-orang yang berjaya.” (ali Imran 3:104).
Manakala contoh akhlak dan amalan yang baik diambil dari
perintah Allah untuk kita mencontohi akhlak rasullullah iaitu berdakwah melalui
perbuatan. Firman Allah: “Demi
sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan
(balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah
banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (al-Ahzab 33:21)
Perbincangan ketiga adalah mengenai hasil analisa yang dibuat pada
jadual 3. Ianya bertujuan untuk mengenalpasti jenis solat sunat yang diamalkan oleh
responden secara tetap. Hasil analisis menunjukkan tidak ramai responden yang
mengamalkan solat sunat secara tetap dimana jumlah purata min keseluruhan
soalan bahagian ini hanya 2.78. Walau bagaimanapun hasilnya tidaklah terlalu
rendah kerana min 2.78 adalah hampir kepada pertengahan selang skala min iaitu 3.0.
Solat sunat yang paling tinggi min nya (3.27) adalah solat sunat
dhuha dimana seramai 21 responden (57%) yang mengamalkan solat sunat dhuha
secara konsisten. Manakala min terendah (2.19) adalah solat sunat tasbih iaitu
hanya 11 responden (30%) mengamalkannya kosisten.
Solat dhuha berada di kedudukan yang teratas mungkin kerana
banyak galakan dan keutamaan mengenai solat sunat ini, antaranya dalam riwayat
Abu Hurairah katanya: “Kekasihku
Rasullullah saw telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak
meninggalkannya, iaitu; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan
witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia
adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (HR
Al-Bukhari dan Muslim)
Manakala solat sunat tasbih kurang diamalkan mungkin disebabkan
sikap malas manusia melaksanakan solat ini yang mengambil masa agak lama kerana
wajib bertasbih pada setiap perpindahan rukun perbuatan supaya jumlah
keseluruhan tasbih adalah 300 kali. Terdapat juga salah faham umat islam dalam
mentafsir maksud baginda rasullullah saw yang memberikan kelonggaran untuk
melaksanakan solat sunat tasbih seumur hidup sekali dimana solat sunat tasbih ini
telah diajarkan oleh Rasulullah saw kepada Saidina Abbas bin Muththalib dengan
Rasulullah saw telah bersabda: “Jika
kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka
lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau
seumur hidup sekali.“ (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Sesuatu yang menarik juga adalah, seramai 17 pelajar (46%) tidak
mengamalkan sebarang solat sunat secara tetap berbanding 20 pelajar (54%)
mengamal solat sunat secara tetap. Ini berkemungkinan bagi pelajar dewasa
terdapat kesukaran dalam melakukan sesuatu solat sunat secara kosisten kerana
kurangnya ilmu agama yang diperolehi merujuk data demografi jadual 1 item 4
atau halangan dari cara hidup (pengurusan masa) dengan merujuk jadual 1 item 2
dimana kebanyakan pelajar berumur lebih 40 tahun, berkerjaya dan belajar
separuh masa di APIUM.
Akhir sekali adalah perbincangan mengenai hasil analisa pada
jadual 4 iaitu untuk mengenalpasti faktor yang mempengaruhi responden melakukan solat
sunat. Hasil analisa bahagian ini berada ditahap yang baik dimana purata
min adalah 3.02 atau 6 dari 10 faktor (60%) mempengaruhi responden melakukan
solat sunat. Berada ditempat teratas adalah apabila seramai 23 pelajar (62%) mengakui
bahawa seminar, hebahan, makalah dan buku-buku banyak memberikan galakan atau
maklumat mengenai kelebihan solat sunat. Satu pekara yang sangat menarik adalah
pada kedudukan kedua (min 3.27), soalan no 23 dimana solat sunat merupakan
amalan dan ikutan dalam keluarga atau saudara mara yang rapat dengan responden.
Ini telah mengesahkan melalui data latar belakang umum responden pada jadual 1,
dimana sebanyak 49% pelajar memiliki saudara mara terdekat yang terlibat dalam
bidang agama. Oleh itu, faktor hubungan kekeluargaan dengan individu yang
berada dalam bidang agama juga adalah antara faktor yang kuat mempengaruhi
pelajar untuk mengamalkan solat sunat. Ini juga adalah bersamaan dengan hasil
kajian Fatin Faqeriah (2007: 26), dimana ibu
bapa merupakan contoh teladan yang terbaik kepada anak-anak supaya anak-anak
menjadi seorang insan yang beramal soleh dan bertakwa kepada Allah Taala. Sabda
Rasulullah saw yang bermaksud: “Setiap
anak yang lahir itu adalah dalam keadaan fitrah (Islam; suci bersih). Maka ibu
bapanya lah yang bertindak menjadikan dia Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
(HR Muslim dan Baihaqi)
Soalan no 25 pula berkaitan dengan persoalan rakan yang selalu
mengajak untuk melakukan solat sunat berjemaah di surau atau masjid telah mendapat
nilai min yang paling rendah (2.30). Seramai 12 responden (32%) bersetuju yang
rakan mempengaruhi mereka melakukan solat sunat manakala 25 responden (68%)
tidak setuju dengan kenyataan ini. Hal ini mungkin kerana sesetengah responden
menganggap mereka melakukan solat sunat setelah melalui proses didikan keluarga
atau melalui ilmu yang diperolehi berbanding pengaruh rakan sekeliling mereka.
Namun begitu, bagi responden yang bersetuju dengan faktor tersebut, mungkin kerana
faktor rakan juga ada memainkan peranan yang cukup besar dalam mempengaruhi
seseorang itu untuk melakukan solat sunat dimana menurut Aniesma Niza (2007:
42), rakan sebaya merupakan faktor yang paling
berkesan sama ada untuk menyumbang ke arah kebaikan ataupun keburukan. Ini
bertepatan dengan hadith nabi yang bermaksud: "Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat adalah
seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus
bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda
membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga
baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau
anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)
KESIMPULAN
Kesimpulan
yang dapat diambil melalui kajian ini adalah:
Sebagai
memenuhi objektif kajian yang pertama, didapati bahawa pelajar diploma
usuluddin APIUM semester 4 tahun 2012 memahami mengenai kepentingan solat sunat
sebagai salah satu cabang ibadah yang sangat dituntut untuk dikerjakan dan
merupakan amalan pilihan dalam beribadat kepada Allah swt dimana kadar
pemahaman responden yang sangat tinggi iaitu 90% (min 4.03).
Untuk
memenuhi objektif kajian yang kedua pula, terdapat 3 jenis solat sunat yang
sering diamalkan secara konsisten oleh kebanyakan responden iaitu:
1.
Solat sunat dhuha
2.
Solat sunat rawatib
3.
Solat sunat taubat.
Manakala
terdapat 6 faktor yang mempengaruhi responden mengamalkan solat sunat iaitu:
1.
Seminar, hebahan, makalah dan buku-buku memberikan
maklumat atau galakan mengenai kelebihan solat sunat kepada responden.
2.
Solat sunat merupakan amalan dan ikutan
dalam keluarga atau saudara mara yang rapat dengan responden.
3.
Sering mengikuti ceramah ditempat awam, pusat
pengajian dan tempat kerja mengenai kelebihan atau galakan solat sunat.
4.
Pihak masjid atau surau kawasan tempat
responden tinggal sering menganjurkan aktiviti solat sunat dan qiamulail.
5.
Ibubapa sering membawa ahli keluarga ke
program solat sunat (qiamulail) anjuran masjid/surau setempat, berdekatan atau
masjid.
6.
Media massa sering menyampaikan maklumat
atau galakan mengenai kelebihan solat sunat.
Akhirnya,
diharap melalui hasil kajian ini pembaca secara umumnya dan pelajar yang
menjadi responden secara khususnya harus sedar bahawa mereka merupakan contoh teladan
yang sering diperhatikan oleh masyarakat sekeliling mereka. Dengan memberikan
contoh dan akhlak yang baik terutamanya dengan sering melaksanakan solat sunat
secara konsisten dapat mempengaruhi ahli keluarga terdekat mereka secara
khususnya dan seterusnya masyarakat sekeliling mereka untuk turut sama
melaksanakan solat sunat demi mencari keredhaan Allah swt.